PENGENALAN

Mata pelajaran Ekonomi Asas merupakan satu daripada mata pelajaran di bawah kumpulan Teknik dan Vokasional untuk menengah atas. Kurikulum Ekonomi Asas digubal dengan tujuan memberi murid pemahaman teguh mengenai prinsip asas ekonomi bagi membantu murid memahami dunia moden dan membuat keputusan yang akan membentuk masa depan. Melalui mata pelajaran ini, murid dapat memahami masalah yang berpunca daripada sumber terhad dan membuat pilihan yang rasional tentang penggunaannya. Pemahaman ekonomi juga dapat membantu individu memainkan peranan sebagai pengguna dan pengeluar yang bertanggungjawab dalam masyarakat.


Selain itu murid juga dapat memahami dan menghargai fungsi serta peranan bank dan institusi kewangan lain di samping memperoleh kemahiran mencari, memahami serta menilai maklumat yang berkaitan dengan ekonomi. Dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, murid dapat memainkan peranan yang berkesan dan bermakna dalam kehidupan seharian.


Sukatan pelajaran Ekonomi Asas dirancang dan digubal untuk menyumbang ke arah pembinaan insan yang baik, seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum Ekonomi Asas diperjelas dalam dua dokumen, iaitu Sukatan pelajaran dan Huraian Sukatan pelajaran. Sukatan pelajaran menggariskan matlamat, objektif, penekanan dan kandungan kurikulum secara umum. Huraian Sukatan pelajaran memperincikan kehendak kurikulum Ekonomi Asas di mana maklumat tentang matlamat dan objektif kurikulum, penerangan ringkas tentang kemahiran berfikir, kemahiran generik, strategi pengajaran dan pembelajaran dan organisasi isi kandungan juga terkandung didalamnya.



LATAR BELAKANG MATA PELAJARAN

Mata pelajaran Ekonomi Asas adalah salah satu mata pelajaran elektif untuk Tingkatan IV dan V. Tujuan sukatan pelajaran Ekonomi Asas digubal adalah untuk memberi murid pemahaman yang sewajarnya mengenai prinsip asas ekonomi bagi membantu mereka lebih memahami zaman kini yang lebih mencabar serta berteknologi. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari bagaimana membuat keputusan dengan lebih tepat untuk memberikan impak yang positif untuk masa kini dan masa akan datang. Secara tidak langsung, mata pelajaran ini dapat membantu mereka untuk memahami masalah yang berpunca daripada sumber terhad dan dapat

membuat pilihan yang rasional tentang penggunaannya. Apabila dilihat daripada aspek kepentingan secara keseluruhannya, pemahaman ekonomi ini juga dapat membantu individu tersebut dalam memainkan peranan sebagai pengguna dan pengeluar yang bertanggungjawab dalam masyarakat serta penglibatan mereka dalam aktiviti pembangunan ekonomi negara dan perdagangan antarabangsa


MATLAMAT MATA PELAJARAN

Merujuk kepada matlamat kurikulum Ekonomi Asas ini, tujuan sebenarnya mata pelajaran ini diwujudkan adalah untuk membekalkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran asas ekonomi. Selain daripada itu, pembelajaran mata pelajaran ini juga dapat memupuk nilai- nilai murni dan serta semangat patriotik supaya mereka mempunyai kesedaran dan memahami masalah ekonomi yang berlaku di Negara Malaysia khususnya. Apabila mereka memahami asas ekonomi ini, secara automatiknya mereka akan lebih menghargai sumbangan daripada segala kegiatan ekonomi yang dijalankan serta menyelesaikan masalah ekonomi yang melanda Negara ini dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.


http://www.scribd.com/doc/20877679/Bagaimana-Mata-Pelajaran-Ekonomi-Asas-Dapat-Meningkatkan-Keterampilan-Pelajar